Ahad, 24 Mei 2015

- Niqab -

- Niqab -

🌺 Tujuan memakai purdah bukanlah supaya diri anda tidak dikenali. Ia bukan soal ‘hadang muka’. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda dari menjadi perhatian lelaki ajnabi ataupun menimbulkan fitnah kepada mereka. Atas kesedaran ini anda memakai purdah demi menjaga maruah dan agama anda. Selaras dengan tindakan ini, anda tentunya akan sedaya upaya mengelakkan diri anda dari menjadi tatapan orang ramai, lebih-lebih lagi di alam maya. Adalah sesuatu yang aneh jika anda memakai purdah tetapi mengambil gambar sendiri dalam jarak yang cukup dekat kemudian diletakkan di facebook ataupun blog dengan saiz yang begitu besar!

🌺JAHIL

Itulah namanya simptom dari kejahilan. Jahil dari awal-awal mengorak langkah lagi, iaitu untuk apa anda memakai purdah? Ini kerana yang membezakan antara dua wanita yang memakai purdah adalah iman dan kefahaman mereka. Sedangkan kain sehelai itu bukankah neraca penentu taqwa ataupun tidak.

Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan ‘mahal’. Ada yang memakai purdah kerana mahu menyorok kelemahan tertentu. Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan lebih cantik atau mahu bergaya. Ada yang obses dengan trend dan fesyen. Ada yang obses dengan watak dalam filem atau drama ‘cinta Islamik’. Dan ada juga yang benar-benar memakai purdah kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Nah. Sekarang anda di posisi yang mana?

‘🌺Niqobis’ Alam Maya
Secara zahirnya, ada tiga kepelikan ketara yang sering saya lihat pada niqobis yang aktif di alam maya :

1- Bergambar.

Bergambar dalam jarak jauh dan jika tersiar pun, dalam saiz yang kecil pada saya tidaklah menjadi masalah.

Jika jarak jauh dan saiz kepala pula hanya sebesar kepala mancis, tiada siapa yang akan tertarik. Yang kenal pun, tentulah kenalan rapat sendiri sahaja. Tetapi jika diletak dengan sebesar-besarnya, sehingga begitu jelas bulu mata yang lentik dengan sekeliling mata berhias celak, itu jelas sekali bertentangan dengan objektif memakai purdah itu sendiri. Meskipun hanya mata yang kelihatan, tetapi jika sejelas itu terpampang, sudah tentu bisa jua mencairkan hati anak adam. Anda sedang meletakkan magnet yang menarik fitnah. Apakah anda fikir jelingan mata anda itu bebas daripada virus fitnah wanita yang disabdakan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam ..?

2- Tabarruj

Ada beberapa ciri asas dalam tabarruj, antaranya adalah jenis pakaian yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan memakai bau-bauan yang kuat. Ramai niqobis yang seolah keliru dengan diri sendiri. Asalnya memakai purdah dan berbaju labuh untuk mengelak dari menarik perhatian atau menimbulkan fitnah, tetapi lama kelamaan seolah mengambil kesempatan pula ke atas pakaian labuh dan purdah. Daripada satu warna, menjadi banyak warna. Daripada kosong semata, jadi berhias pelbagai manik berkelipan pula. Sudahnya, makin lama makin pelik. Lebih pelik, tangkap gambar banyak-banyak dan masukkan dalam blog secara bersiri. Untuk apa?

3- Mendedahkan aurat

Sudah banyak dijelaskan di sana sini, bahawa menutup aurat itu bukan bermakna menutup rambut. Ada beza yang besar antara keduanya. Jika anda mahu ikut kefahaman sendiri, anda boleh tutup rambut dengan scarf sahaja. Tetapi jika anda mahu ikut Islam, anda wajib menutup seluruh rambut dengan melabuhkan tudung ke bahagian dada, serta memakai baju yang labuh dan tidak menampakkan bentuk badan. Barulah anda diiktiraf sebagai menutup aurat. Yang akan mengiktiraf itu adalah Allah, bukannya manusia. Tetapi saya lihat, ramai niqobis yang tidak mengupgrade disiplin pemakaian mereka sesuai dengan tuntutan syarak, sebaliknya menambah sehelai kain untuk menutup sebahagian muka pula. Ini pelik.

Dengan tabiat yang suka memakai t-shirt dan seluar jeans, dia menambah sehelai kain di muka lalu memanggil dirinya sebagai wanita berpurdah. Ini gharib. Ada juga yang bertudung silang ( tidak dilabuhkan ke dada ) tetapi memakai purdah. Ini juga gharib.

Dalam kesemua yang saya lihat dan perhatikan, saya fikir, sesiapa yang mahu memakai purdah, perlulah berhati-hati. Kenapa?

Pertama : Anda malu dengan manusia. Di dunia ini pun anda sudah merasa malu, kerana anda dilihat sebagai jahil dan aneh. Memakai serban tetapi berseluar pendek, ibaratnya begitu.

Kedua : Di akhirat kelak, anda akan ditanya oleh Allah atas apa yang anda pakai di dunia. Tidak cukup bab tidak menutup aurat dengan sempurna, ditambah pula dengan bab mengapa memakai sehelai kain di muka sedangkan perintah menutup aurat diabaikan. Dari satu hal bertambah jadi dua hal semata-mata kerana anda gatal tangan mahu memakai purdah tanpa terlebih dahulu menjelaskan niat kerana Allah. Itu cari penyakit namanya.

Justeru, sila berhati-hati jika ingin memakai purdah. Apabila anda meletakkan diri anda di tahap itu, maka mahu atau tidak, anda perlu menjadi sepertimana orang yang berada di tahap itu. Baik dari segi perkataan, perbuatan mahupun pemakaian. Sebenarnya, semua itu tidak akan membebankan anda pun jika anda benar-benar ikhlas memakai purdah. Tetapi jika sebaliknya, kekallah anda dalam ‘azab’ kegelisahan yang berpanjangan.

Fikir-fikirkanlah.

#MuhasabahDiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan