Khamis, 14 Mei 2015

Senyum itu sunnah Rasulullah

Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan
keramahan Baginda.

Banyak Tersenyum

Disebabkan itu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang penuh dengan senyuman.

Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Saidina Umar.

Kata Saidina Umar,
"Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya."
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, Abdullah bin Al- Harist menyatakan,
"Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,
"Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah Sallallah Alaihi Wassalam terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela , tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas."

Jadi, senyum senyum selalu.. Senyum tak perlu kata apa-apa. TETAPI senyum mesti ada orang 😁 hehe Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan