Jumaat, 15 Mei 2015

Pohon Kurma Menanggis

Setelah mendirikan Masjid Quba Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menuju ke Madinah dan unta tunggangannya berhenti di sebuah kebun kurma yang dimiliki oleh dua orang anak yatim. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berkenan dan membeli kebun kurma tersebut, lalu mendirikan sebuah lagi masjid yang agung, dikenali dengan Masjid Nabawi. Binaannya sangat sederhana, segi empat, berdinding batu dan tanah, beratapkan timbunan daun kurma. Manakala di persekitaran masjid terdapat banyak pokok-pokok kurma yang menghiasinya.

Di salah satu pokok kurma inilah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berdiri dan bersandar sambil memberi khutbah pada umat Islam. Pada tahun ke 7H, Rasulullah mula menggunakan mimbar. Satu peristiwa aneh berlaku ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berjalan melepasi pohon kurma tersebut untuk menuju ke mimbar bagi tujuan memberi khutbah. Tiba-tiba pohon kurma itu menangis dan merintih dengan kuat sehingga masjid serasa bergoyang dan bergoncang.

Pohon kurma tidak dapat menahan perasaannya. Ia merindui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang selama ini bersandar padanya semasa berkhutbah. Mendengar tangisan pohon kurma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam turun dari mimbar dan memeluk erat batang pohon kurma sambil perlahan berbisik dan memujuknya sehingga ia berhenti menangis. Peristiwa ini diceritakan oleh dua sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam :

Jabir bin Abdillah r.a berkata:” Adalah dahulu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berdiri untuk berkhutbah di sebatang pohon kurma, maka apabila diletakkan mimbar baginya, kami mendengar sebuah suara seperti suara unta dari pohon kurma tersebut hingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam turun kemudian baginda meletakkan tangannya di atas batang pohon kurma tersebut “. – HR Bukhari

Ibnu Umar r.a berkata: “Dahulu Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam berkhuthbah pada sebatang kurma. Apabila baginda telah membuat mimbar, maka baginda berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun merintih. Maka Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam mendatanginya sambil mengeluskan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya) “. – HR Bukhari dan Tirmizi.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam pun bertanya kepada pohon kurma sama ada ia mahu menjadi pokok di dalam syurga dan berdamping dengan baginda Sallallahu Alaihi Wassalam atau kekal di dunia untuk memberi makan buahnya pada orang beriman. Pokok kurma memilih untuk berdamping dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di syurga. Baginya jika memilih dunia, ia akan berpisah dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi wassalam sesudah ia mati. Tetapi di syurga, ia tidak mati selama-lamanya dan tidak akan berpisah dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda.
“Demi Tuhan yang memegang nyawaku di dalam tangan-Nya. Jika aku tidak memeluk dan memujuknya, pasti ia akan berterusan seperti ini hingga hari kiamat.”

SUBHANALLAH, POHON KURMA PUN MERINDUI RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASSALAM. BAGAIMANA PULA DENGAN KITA ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan