Jumaat, 5 Jun 2015

Kisah si penjual soto

Kisah Si Penjual Soto :) ...

"Fahri, saya lapar lah. Jom kita pergi makan dekat gerai sana tu.." kata Rahim sambil menunjuk sebuah gerai yang berhampiran. Mereka berdua baru sahaja selesai daripada sesi temu bual untuk masuk ke sebuah universiti Islam tempatan. "Jom, aku belanja hari ni.." kata Fahri yang memang pemurah orangnya. Mereka pun menuju ke gerai tersebut yang terletak di seberang jalan. Setelah sampai ke gerai tersebut, mereka pun duduk sambil membuat pesanan. Gerai tersebut amat sederhana tetapi ramai juga orang yang datang berkunjung. "Bro, cuba lihat makcik yang jual soto tu.." kata Fahri kepada Rahim sambil menunjuk makcik yang sibuk menyediakan beberapa mangkuk soto untuk santapan pelanggan.

Rahim pun menoleh makcik itu. "Hmm, kenapa dengan makcik tu?" tanya Rahim bengang. "Apa yang kita boleh pelajari dari makcik tu?" tanya Fahri tiba-tiba. Senyuman terukir di bibirnya. "Ermm. Cara nak dapat duit dan keuntungan?" jawab Rahim tidak pasti. Fahri tersenyum mendengar jawapan Rahim. "Betul, tapi kurang tepat.." balas Fahri. Raut wajah Rahim bertukar. "Habis tu apa?" tanyanya mula meminta kepastian. "Begini.." kata Fahri sambil membetulkan posisi duduknya.Rahim menunggu penjelasan Fahri penuh ta'at. "Dalam semua pelanggan yang datang ke gerai ni, ada pelbagai macam citarasa dan kemahuannya. Ada yang mahu soto kuning, soto putih. Ada yang mahu campur daging atau campur ayam. Ada yang mahu pedas atau kurang pedas.." kata Fahri memulakan hujahnya. "Ya? teruskan.." kata Rahim yang mula tidak sabar-sabar. "Walaupun ada pelbagai ragam dan citarasa yang ada pada pelanggan, makcik penjual soto itu mahu tidak mahu, harus melayan kemahuan pelanggannya.." kata Fahri. "Ya, betul. Jadi?" balas Rahim bersetuju. "Nah, begitulah kita sebagai pendakwah. Kita harus jadi seperti makcik jual soto itu.." Cebik Fahri dengan semangatnya.

Rahim hanya terdiam memikirkan maksud tersirat yang mahu di sampaikan oleh Fahri. "Begini, apabila di tengah-tengah masyarakat, pendakwah akan berhadapan dengan pelbagai jenis sifat dan ragam manusia. Ada yang baik, jahat dan sebagainya. Namun, sebagai pendakwah yang tegar, kita harus melayan apa sahaja karenah orang yang kita dakwahkan.." jelas Fahri kepada Rahim yang masih tekun mendengar hujah sahabat itu. "Betul.." jawab Rahim mula menyuarakan pandangannya. Dia tersenyum. "Kenapa agaknya makcik penjual soto tu tidak menolak kemahuan atau citarasa pelanggannya?" soal Fahri lagi kepada Rahim. "Ermm, sebab dia tidak mahu rugi?" jawab Rahim masih tidak pasti. "Ya, betul. Dia tidak mahu rugi. Kerana setiap pembelian merupakan peluang untuk menaikkan keuntungan perniagaannya.." kata Fahri bersetuju dengan jawapan Rahim. Fahri nampak semakin bersemangat. "Begitulah seharusnya pendakwah, setiap mad'u merupakan peluang untuk menaikkan darjat kita di sisi Allah.." kini Rahim pula yang berhujah.

Fahri tersenyum melihat sahabatnya itu. "Bukan itu sahaja. Apabila kita lihat makcik tu, dia sangat pakar dalam membuat soto. Dia tahu setiap bahan yang perlu ada dalam masakannya.." kata Fahri lagi. "Ya, betul. Jadi?". "Pendakwah juga harus sedemikian. Sebelum turun di tengah-tengah masyarakat, pendakwah seharusnya mempunyai ilmu yang mantap. Perlu pakar dalam Al-Quran, Hadis, dan juga pakar dalam manhaj berdakwah. Pendakwah tidak sepatutnya 'turun padang' tanpa membawa persiapan.." jelas Fahri kepada Rahim. "Ya, umpama pahlawan yang turun berperang tanpa senjata.." sambung Rahim sambil tersenyum. Fahri turut tersenyum melihat Rahim yang sudah memahami bicaranya. "Maaf cik, ini sotonya.." kata seorang pelayan yang membawa hidangan mereka. "Terima kasih.." kata mereka serentak. "Jom makan.." kata Fahri mempelawa Rahim. "Bismillahirrahmanirrahim..". -HS

healouriman.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan